Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk memulakan kajian semula pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti anti-lambakan ke atas import dagangan import keluli aloi dan gegelung sejuk bukan aloi dari negara China, Korea dan Vietnam.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan menilai dan mempertimbangkan bukti-bukti lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, petisyen itu telah diterima daripada pengeluar tempatan, Mycron Steel CRC Sdn. Bhd bagi import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang mempunyai ketebalan antara 0.20 mm hingga 2.60 mm dan kelebaran antara 700 mm hingga 1,300 mm (dagangan subjek) yang akan berakhir pada 23 May 2021.

Petisyen tersebut berdasarkan alasan penamatan duti anti-lambakan yang sedang berkuatkuasa berkemungkinan akan menyebabkan lambakan dan kemudaratan berterusan atau berulang terhadap industri Malaysia.

Pempetisyen juga mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah meningkat dan dilambak ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan domestik di negara-negara berkenaan.

MITI berkata, selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, suatu penentuan muktamad akan dibuat dalam tempoh 180 hari dari tarikh pemulaan penyiasatan.

Sekiranya penentuan muktamad adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan bagi mencegah kemudaratan lanjut terhadap industri domestik.

Sehubungan dengan penyiasatan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (MITI) akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan,
seperti:
• pengeluar tempatan dan persatuan pengeluar Malaysia yang berkaitan;
• pengeluar atau pengeksport dagangan subjek di PRC, ROK dan Viet Nam
seperti yang dinyatakan di dalam petisyen;
• pengimport dan persatuan pengimport berkaitan seperti yang dinyatakan di
dalam petisyen; dan
• Kerajaan China, Korea dan Vietnam.

Pihak-pihak berkepentingan yang lain boleh memohon bagi mendapatkan borang soal
selidik tersebut selewat-lewatnya pada 27 April 2021.

Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan secara bertulis kepada MITI selewatlewatnya pada atau sebelum 11 Mei 2021.

Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak kerajaan boleh membuat penentuan muktamad berdasarkan fakta yang sedia ada.

Notis pemulaan Kajian Semula Pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti anti-lambakan
itu boleh dicapai melalui http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pub_20210412_PUB199.pdf. – MalaysiaGazette