Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan walaupun harga RBD Palm Olien telah meningkat sebanyak 83 peratus kepada RM4,122 per tan metrik pada tahun ini berbanding RM2,255 per tan metrik pada tahun lalu.

Jumlah itu bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kilogram (kg) iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Datuk Seri Alexander Nantan Tinggi berkata, kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen kerajaan untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien telah meningkat.

“Sekiranya kenaikan harga RBD Palm Olien berterusan menunjukkan trend peningkatan, kerajaan menjangka kos akan terus meningkat bagi skim ini, daripada RM400 juta kepada RM1.8 billion.

“Oleh yang demikian, keputusan Kerajaan untuk mengekalkan kuota dalam program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) menunjukkan komitmen Kerajaan yang tinggi untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di Sarawak

Tambah Alexander, susulan dari pengauditan dan tindakan tegas dalam menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi sebanyak 318 kes telah diterima dari seluruh negara melibatkan minyak masak sejak tahun 2016 sehingga Mac lalu.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak empat buah syarikat pembungkus minyak masak telah diambil tindakan dengan membatalkan kuota yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini.

Berdasarkan rekod, terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi dibawah Program COSS di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan.

Semakan rekod juga mendapati aduan berkaitan minyak masak di Sarawak pada tahun lalu sehingga 31 Mac ini ialah sebanyak 25 aduan.

Selain daripada itu, sejumlah 4,221 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis-premis yang menjual minyak masak sehingga semalam dan telah menghasilkan sejumlah lapan kes sepanjang tahun ini.

Bagi isu gula pula, pada dasarnya, harga jualan gula domestik dikawal pada harga maksimum iaitu sebanyak RM2.85/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95/kg bagi gula putih bertapis halus bagi jualan secara runcit.

Manakala harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85/kg bagi gula putih bertapis halus.

Perbezaan pada harga gula yang lebih rendah boleh dinikmati oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman berdasarkan kuantiti dan kaedah pembelian yang dipersetujui dengan pembekal serta bergantung kepada harga gula mentah di pasaran dunia tanpa campur tangan kerajaan.

Syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong tempatan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit mengimport gula bertapis pada bila-bila masa sepanjang tahun, tambahnya.

Permohonan yang memenuhi syarat akan dipertimbangkan secara teliti oleh satu Jawatankuasa Penilaian yang diwakili oleh beberapa agensi Kerajaan yang berkaitan temasuk Kementerian Perdagangan antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, keutamaan pemberian permit mengimport adalah kepada mana-mana syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong yang memenuhi kriteria penilaian yang telah ditetapkan.

Dari segi kawalan ke atas kelulusan permit mengimport pula, pemantauan berterusan juga dilakukan terhadap penerima permit mengimport gula bertapis bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penyelewengan dan tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan permit mengimport gula bertapis.

Alexander berharap orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dan barang kawalan yang lain di pelbagai saluran aduan yang di sediakan oleh kementerian. – MalaysiaGazette