Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama atlet negara selepas selesai menerima suntikan vaksin di Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasik, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 atlet dijangka terlibat dalam pengambilan vaksin Covid-19 fasa kedua bermula 19 April ini namun ia bergantung kepada bekalan vaksin sedia ada, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan vaksinasi untuk kumpulan kumpulan atlet tersebut.

“Cuma saya diberitahu oleh Khairy Jamaluddin bahawa fasa kedua pemberian vaksin akan memberi keutamaan kepada atlet yang menyertai kejohanan penting dalam negara.

“Saya sudah mengemukakan senarai yang merangkumi 4,000 nama dan dalam itu ada tiga kumpulan atlet dan pegawai.

“Sementara kumpulan kedua adalah besar kemungkinan mencecah lebih 1,000 atlet yang terlibat dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dan Liga Hoki Malaysia (MHL) merentasi negeri dan yang terpaksa berada dalam gelembong sukan,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir mengambil dos pertama vaksin PfizerBioNtech bersama 264 atlet, pegawai dan jurulatih pelbagai sukan tanah air di Kompleks Sukan DBKL Taman Desa Tasik di Sungai Besi di sini.

Turut hadir timbalannya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang memantau atlet selepas menerima dos kedua PfizerBioNtech di Klinik Kesihatan Putrajaya awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga memaklumkan bahawa para atlet yang akan menyertai kejohanan utama di luar negara secara kerap juga diutamakan dalam pemberian vaksin awal fasa kedua.

Dalam perkembangan berkaitan, Reezal berkata, terdapat atlet yang melengkapi dua dos vaksin Pfizer di Qatar iaitu Hafiz Shaharin atas kemurahan hati negara  itu ketika menyertai kejohanan di sana mengikut polisi kawalan Covid-19 di negara itu.

“Lagipun Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak mewajibkan pengambilan vaksin kerana bukan semua negara dapat akses dengan bekalan vaksin dan ada negara yang terkebelakang dan miskin dalam mendapatkan vaksin secara menyeluruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette