Ketua Pegawai Esekutif MRT, Datuk Mohd Zarif bercakap pada sidang media berkenaan perlaksanaan MRT3 di Menara KEN, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 13 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Projek pembinaan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) akan bermula awal tahun depan selepas proses tender selesai.

Tempoh keseluruhan pembinaannya mengambil masa 10 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp. Datuk Mohd Zarif Hashim.

“Kita harap akan dapat memulakan tender projek pada Ogos, namun bergantung kepada kelulusan kerajaan dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada awal tahun depan,” katanya dalam taklimat media hari ini.

Mohd Zarif berkata, projek itu membabitkan pelbagai fasa dan kemungkinan mempunyai lebih 30 stesen dan 10 stesen transit.

Projek ini akan mempunyai lima fasa berlainan dan setiap fasa yang siap akan beroperasi terlebih dahulu.

”Walaupun projek ini tidak siap sepenuhnya kelak, tapi mana-mana fasa MRT3 yang siap akan beroperasi dulu sebab ada stesen transit (interchange),” ujarnya.

Untuk rekod, MRT Corp. dipertanggungjawabkan melakukan kajian pelaksanaan projek berkenaan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri selama tiga bulan bermula pertengahan tahun ini.

Beliau enggan mendedahkan jangkaan kos bagi pembinaan keseluruhan MRT3 sehingga cadangan  pelaksanaan mendapat kelulusan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, projek ini mampu memberi pulangan 3.5 kali ganda daripada kosnya, sekali gus akan memberi pulangan sebagai pendapatan ekonomi negara kelak.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerja-kerja pembinaan MRT3 yang ditangguhkan oleh kerajaan terdahulu akan dimulakan pada separuh kedua tahun ini.

Sehubungan itu, pihaknya telah memberi tempoh tiga bulan kepada MRT Corp untuk melakukan kajian pelaksanaan projek berkenaan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Kos projek berkenaan pula akan diputuskan berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MRT Corp dan memberi jaminan kerajaan akan membuat pilihan yang paling menguntungkan dan memanfaatkan rakyat.

Pada 2018, Menteri Pengangkutan ketika itu Anthony Loke Siew Fook memaklumkan MRT3 ditangguhkan untuk mengurangkan bebanan hutang kerajaan. – MalaysiaGazette