Foto Facebook Sarawak United FC Official.

KUALA LUMPUR – “Prestasi yang saya pamerkan di Sarawak United, bukan atas saya seorang sahaja tetapi adalah kerjasama rakan sepasukan, bukan sahaja mereka yang bermain di bahagian pertahanan tetapi semua pemain,” kata penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee.

Rekod Sharbinee di Sarawak United musim ini cukup menakjubkan apabila hanya dibolosi satu gol dalam enam perlawanan, terendah antara 23 pasukan buat masa ini.

Malah, Sharbinee berjaya mempertahankan gawang Sarawak United tidak bolos sepanjang tempoh 450 minit atau selama lima perlawanan sebelum pemain Skuad Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman menjadi pemain pertama menewaskannya melalui sepakan penalti pada minit 57.

Walaupun beraksi di Liga Premier, Sharbinee tetap gembira dengan rekod dipamerkan di benteng yang menjadi salah satu kunci kekuatan Sarawak United untuk bergelar pendahulu, dua mata mengatasi Johor DT II dan Negeri Sembilan FC.

Menurut Sharbinee, dia sama sekali tidak menyangka mampu tampil dengan prestasi sebegini memandangkan hanya bersama dengan pasukan selama seminggu sebelum sepak mula Liga Premier.

“Kalau diikutkan, saya rasa gembira dengan keserasian yang terpamer sesama kami biarpun pasukan ini sebenarnya lebih separuh terdiri pemain-pemain baharu.

“Saya sendiri di saat-saat akhir masuk ke Sarawak United setelah dipelawa daripada jurulatih (E. Elavarasan), kalau diikutkan saya ada fikir hendak bersara ekoran tiada tawaran yang datang selepas keluar dari Pahang.

“Namun mungkin pengalaman yang ada pada sebahagian besar pemain dalam pasukan menjadikan kami cepat memahami cara permainan masing-masing dan ini sudah terbukti sejak perlawanan pertama lagi,” katanya.

Perlawanan terutamanya membabitkan Kuching City FC, Terengganu FC II dan Kelantan FC memperlihatkan Sharbinee muncul antara watak penting kemenangan pasukan apabila banyak menyelamatkan percubaan berbahaya lawan.

Sharbinee yang berusia 35 tahun merupakan bekas penjaga gol kebangsaan pada tahun 2009 hingga 2011 serta pernah beraksi di Sukan SEA Laos, banyak menghabiskan kariernya di Terengganu iaitu kira-kira 10 tahun selain Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

Selain itu, penyerang Sarawak United, Uche Agba turut memegang rekod penjaring terbanyak di Liga Premier dengan lapan gol buat masa ini selepas meledak empat jaringan ketika membenam Skuad Projek FAM-MSN, 7-1 pada 10 April lalu.

Menyentuh aksi pada bulan Ramadhan, Sharbinee mengharapkan pasukannya terus konsisten bagi mempertahankan kedudukan di tangga teratas untuk mencerahkan laluan ke Liga Super pada musim 2022.

Malah, sebagai pemain berpengalaman, dia sudah mengetahui cara terbaik dalam memastikan tahap kecergasan tidak terjejas biarpun dalam situasi berpuasa.

“Bermain di bulan Ramadhan adalah satu situasi yang biasa bagi kami dan sebagai pemain, sudah tentu kami kena kawal cara pemakanan semasa berbuka dan sahur.

“Seperti di Sarawak, pasukan akan berlatih di sebelah malam iaitu selepas berbuka agar kami berada di tahap lebih baik selain menyesuaikan diri bermain pada jam 10 malam.

“Saya yakin pasukan mampu mengekalkan prestasi sama dalam lima perlawanan yang berlangsung di bulan Ramadhan ini bagi memastikan kami kekal pendahulu sebelum liga berehat nanti,” katanya.

Sarawak United bakal melayani kunjungan PDRM FC di Stadium Hang Jebat pada Jumaat ini selain aksi Negeri Sembilan dan Kelantan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi juga menjadi antara perlawanan yang menarik untuk disaksikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast