Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette centenarian 100 year-old Covid-19 death daily cases
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan empat kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti, masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu daripadanya kluster dikesan di Sarawak, Kuala Lumpur (2), Putrajaya (1), Sabah (2), Melaka (1), Johor (1) dan Negeri Sembilan (1).

“Antaranya Kluster Jalan Puncak Borneo, Kluster Jalan Raja Laut, Kluster Jalan Hishamuddin, Kluster Lebuh Wawasan, Kluster Tabanak, Kluster Kampung Gayang, Kluster Taman Malim Jaya, Kluster Jalan Salleh dan Kluster Jalan Bukit Belida,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kluster Jalan Puncak Borneo melibatkan daerah Kuching, Sarawak di mana kes-kes dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 11 April 2021 hasil saringan bersasar di tempat kerja.

“Kluster ini melibatkan pelatih-pelatih sebuah pusat latihan yang terletak di Jalan Puncak Borneo, Kuching. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 111 individu telah disaring, di mana 61 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Jalan Raja Laut pula, ia melibatkan Lembah Pantai, Cheras, Kepong, dan Titiwangsa di sini di mana kes indeks ke-356489 dilaporkan positif Covid-19 pada 9 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan terletak di Jalan Raja Laut, Lembah Pantai. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 100 individu telah disaring, di mana 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Satu lagi kluster yang dikesan di sini ialah Kluster Jalan Hishamuddin yang melibatkan Lembah Pantai di mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-361396 dilaporkan positif Covid-19 pada 12 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah syarikat pengangkutan yang terletak di Jalan Sultan Hishamuddin, Tasik Perdana, Lembah Pantai. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 79 individu telah disaring, di mana sembilan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, Kluster Lebuh Wawasan dikesan di Putrajaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, dan Seremban, Negeri Sembilan di mana kes indeks ke-355751 dilaporkan positif Covid-19 pada 8 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah pusat pentadbiran awam yang terletak di Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 65 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Kluster komuniti iaitu Kluster Tabanak melibatkan daerah Lahad Datu, Sabah di mana kes indeks ke-359696 dilaporkan positif Covid-19 pada 11 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti penularan di mana kes-kes dilaporkan berlaku iaitu Kampung Tabanak, Lahad Datu. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 89 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Satu lagi kluster dari Sabah iaitu Kluster Kampung Gayang yang terletak di Tuaran di mana kes indeks ke-352360 dilaporkan positif Covid-19 pada 6 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah majlis sosial yang diadakan pada 28 Mac 2021 di Kampung Gayang, Tuaran. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 548 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi satu kluster yang dikesan di Melaka, iaitu Kluster Taman Malim Jaya iaitu kluster komuniti yang melibatkan Melaka Tengah dan Jasin di mana kes indeks ke-362108 dilaporkan positif Covid -19 pada 12 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Taman Malim Jaya, Melaka. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 52 individu telah disaring, di mana 13 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi Kluster Jalan Salleh pula terletak di Muar, Johor di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 3 April 2021 hasil saringan bersasar sebuah pusat tahanan yang terletak di Jalan Salleh, Muar.

“Sehingga 13 April 2021, sejumlah 100 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, bagi kluster keagamaan pula, iaitu Kluster Jalan Bukit Belida pula melibatkan Seremban, Negeri Sembilan di mana kes indeks ke-357128 dilaporkan positif Covid-19 pada 9 April 2021 hasil saringan pra pekerjaan.

“Kluster ini melibatkan sebuah pusat keagamaan yang terletak di Jalan Bukit Belida 1, Seremban. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 27 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette