Musa Sheikh Fadzir

GEORGE TOWN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menggesa pucuk pimpinan tertinggi parti itu memberhentikan perbalahan sesama sendiri dengan membuat kenyataan balas kepada pihak luar serta media.

Sebaliknya, beliau mengharapkan segala kepincangan berhubung parti itu dibincang menerusi mesyuarat bagi mendapat kata putus yang sewajarnya.

Jelas Musa, tindakan beberapa pucuk pimpinan yang gemar membuat kenyataan media menunjukkan tanggapan tidak elok buat parti, sekali gus mengecewakan pihak akar umbi yang bertungkus lumus membangkitkan semangat juang UMNO untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka (pucuk pimpinan) perlu tahu akar umbi buat pemilihan letak mereka di atas untuk menjalankan tanggungjawab agar UMNO bangkit semula daripada kekalahan PRU lepas.

“Belum pernah ada akar umbi bawa sebarang kepincangan dalam parti kepada pihak luar mahupun media jadi mengapa pucuk pimpinan harus bertindak sedemikian?

“Jadi pucuk pimpinan perlu tunjuk teladan yang elok kepada akar umbi agar semangat kerja mengukuhkan parti yang mereka buat selama ini dihargai,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Musa, UMNO Pulau Pinang mempunyai keahlian lebih 150,000 setakat ini walaupun DAP memerintah negeri sejak tahun 2008.

“Memang ahli UMNO hilang semangat sebaik kita kalah pada PRU lalu tetapi apa yang ingin saya nyatakan di sini tak sampai lima peratus ahli keluar parti manakala baki ahli yang tinggal kini sudah bangkit menggerakkan jentera pilihan raya.

“Kekuatan akar umbi UMNO masih teguh malah semua aktiviti cawangan, bahagian berjalan seperti biasa walaupun kita menghadapi masalah kewangan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette