logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menangkap seorang suspek lelaki disyaki terlibat dalam jenayah melarikan dua pekerja warga India dari sebuah Restoran Daun Pisang Sri Paandi di Little India, Brickfields semalam.

Manakala saki baki suspek yang disyaki bersubahat dalam kejadian itu sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek merupakan warga tempatan ditangkap di Klang hari ini.

“Kita masih bekerjasama dengan pihak polis daerah Klang untuk mengesan beberapa lagi suspek lain yang terlibat dalam insiden penculikan itu,” katanya secara ringkas ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau yakin saki baki suspek itu akan ditangkap dalam masa terdekat ini.

Artikel berkaitan: Polis siasat dua pelayan restoran warga India diculik di Brickfields

Semalam MalaysiaGazette melaporkan sebuah video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran tersebut yang menunjukkan dua pekerja diheret keluar oleh sekumpulan lelaki lebih lima orang disyaki kumpulan gangster.

Mangsa pada 10 April lalu pernah membuat aduan polis mereka dianiaya oleh bekas majikan tanpa membayar gaji untuk beberapa bulan ketika bekerja di sebuah restoran di Pandamaran Klang.

Kedua-dua lelaki warga asing itu berjaya melarikan diri dan mendapat perlindungan serta bekerja di restoran daun pisang terkemuka di Brickfields itu.

Insiden penculikan itu berlaku di restoran semasa pelanggan sedang menjamu selera dan pengurus restoran juga berada di tempat kejadian.

Omar berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang dengan salah.-MalaysiaGazette