KUALA LUMPUR – Dua pekerja warga India sebuah restoran daun pisang di Brickfields, di sini, mendakwa mereka diculik oleh kumpulan gangster ketika orang ramai sedang menjamu selera pada tengahari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki masuk ke dalam kedai itu sebelum mengheret keluar dua pelayan restoran.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi berkata, polis sedang menyiasat insiden itu.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang dengan salah

“Dalam kejadian pukul 2 petang itu, semasa pengadu seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik restoran berada di dalam premis telah didatangi 10 lelaki India tempatan dan menarik keluar dua pekerja warga India yang dikenali sebagai Balamurugan dan Vadivelu secara paksaaan.

“Kejadian turut disaksikan pekerja lain tanpa terdaya buat apa apa dan siasatan polis mendapati tujuan mereka mengheret keluar dua pekerja itu adalah untuk mengambil balik pekerja mereka yang telah melarikan diri daripada sebuah Restoran makanan di Pandamaran, Klang,” katanya.

Ujar beliau, salah seorang mangsa pernah membuat laporan polis pada 10 April lalu di Klang ke atas majikannya yang gagal membayar gaji sebelum kedua-dua mangsa melarikan diri dan menumpang di restoran di Brickfields. – MalaysiaGazette