Foto Facebook UiTM FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih UiTM FC, Reduan Abdullah menyifatkan kelemahan individu antara punca yang memberi kesan kepada prestasi pasukan dan perlu diperbaiki segera untuk mendapat keputusan lebih baik dalam aksi bertemu Sabah FC, Sabtu ini.

Jelasnya, selepas melakukan persiapan kedua bersama pasukan sejurus berakhir aksi menentang Melaka United FC tempoh hari, banyak perubahan yang dibuat khususnya daripada aspek taktikal dan corak permainan dalam usaha memastikan pasukan tidak melakukan kesilapan sama bertemu Sabah untuk perlawanan kelapan Liga Super 2021.

Apa yang pasti, beliau memuji kesungguhan barisan pemain yang bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu yang diterapkan dalam usaha memperbaiki kelemahan masing-masing meskipun moral mereka ketika ini terkesan dengan mengalami tujuh kekalahan.

Menidakkan tugas baharunya ini sebagai satu tekanan, Reduan menganggap ia satu tanggungjawab mencabar yang perlu dipikul selepas menggantikan Frank Bernhard selaku pengendali dan percaya keputusan positif akan dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Saya tidak rasa ia tekanan, tetapi hanya tugas mencabar yang perlu saya lakukan demi pasukan dan saya akan pikul dengan baik demi mereka.

“Banyak perkara yang sudah kita lihat dan daripada aspek serangan dan kelemahan dalam diri individu pemain itu menjejaskan sedikit sebanyak prestasi pasukan dan secara taktikalnya, mereka faham dengan pendekatan baharu yang kita buat sekarang ini.

“Untuk masa terdekat ini, kita memang perlu ada strategi terbaik untuk mengatasi pasukan lawan dan sudah tentu tiga mata akan menjadi buruan kita menentang Sabah, Sabtu ini”, jelasnya.

UiTM FC kini berada di tangga tercorot liga selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan setakat ini.

Untuk aksi kesembilan minggu ini, dua perlawanan akan berlangsung pada Jumaat membabitkan Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Terengganu FC akan menentang Kuala Lumpur City FC.

Selain perlawanan antara Sabah FC dan UiTM FC pada Sabtu, satu lagi aksi menyaksikan Perak FC akan berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak.

Baki dua lagi aksi akan berlangsung pada Ahad di mana Selangor FC akan bertandang ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United FC dan PJ City FC pula akan menentang Penang FC. – MalaysiaGazette