emain Liga Turki mencuri tumpuan peminat bola sepak semalam apabila berhenti daripada meneruskan perlawanan sejurus selepas azan berkumandang untuk berbuka puasa.

ANKARA – Ramadan tidak menghalang pemain Liga Turki berpuasa dan beraksi di atas pandang sebelum berhenti seketika daripada meneruskan perlawanan sejurus selepas azan berkumandang untuk berbuka puasa.

Stesen penyiar beIN Sportsdetik merakam video yang menunjukkan beberapa pemain Ankara Keciorengucu berbuka puasa ketika menentang Giresunspor dalam First League TFF iaitu liga divisyen dua Turki.

Empat pemain dilihat berlutut di atas padang sambil menjamah kurma dan pisang manakala penjaga gol meneguk sebotol air.

“Apabila permainan dihentikan ekoran kecederaan pemain dalam aksi di antara GZT Giresunspor dan Ankara Keciorengucu dan kebetulan azan berkumandang di mana pemain mengambil peluang berbuka puasa,” tulis Twitter beIN Sports.

Sehingga semalam, klip video tersebut telah ditonton lebih tiga juta kali di platform media sosial.

Sebelum ini dalam perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia 2018, penjaga gol Tunisia, Mouez Hassen mengalami kecederaan ketika azan berkumandang, sekali gus memberi peluang kepada rakan sepasukannya berbuka puasa.

Setahun selepas itu, dua pemain Ajax, Hakim Ziyech dan Noussair Mazraoui berpuasa ketika separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Tottenham.

Mereka sempat berbuka puasa pada minit ke-24. – MalaysiaGazette