Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Ariff. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Ambil kesempatan atas kesulitan orang.

Itu taktik dibongkar Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) berhubung aktiviti sesetengah pegawai bank yang didakwa menjadi dalang penipuan dengan menjadikan peminjam tertunggak sebagai mangsa.

Presidennya, Rosland Mohd. Arif berkata, perkara itu dikesan selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada pemilik-pemilik rumah yang mengeluh apabila pihak bank mahu melelong kediaman mereka ekoran kegagalan membayar ansuran bulanan.

Beliau mendakwa, ramai pegawai bank meraih keuntungan menerusi perbuatanĀ  yang tidak berintergriti itu.

“Kami menerima banyak komplen mengenai rumah-rumah yang telah dilelong. Kesemua yang mengadu memberitahu mereka tidak pernah menerima surat peringatan atau pun surat saman dari bank, mahkamah atau pun pejabat tanah.

“Semua keputusan lelongan dilakukan di ibu pejabat bank yang terletak di Kuala Lumpur,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rosland mendakwa, lebih parah apabila mendakwa ada bank-bank sepakat melelong rumah berkenaan melalui pihak ketiga iaitu pelelong harta yang dilantik di mana sebahagian pelelong itu sebenarnya tiada berintegriti.

Dakwanya, pelelong terbabit bekerjasama dengan pegawai bank tertentu dan kebanyakan kes melibatkan pegawai yang tidak boleh dipercayai.

“Kami tidak menyalahkan bank, pejabat tanah atau pun mahkamah tetapi pegawai-pegawai banklah yang memainkan peranan utama dalang dalam penipuan dan memutar belitkan segala urusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette