KUALA LUMPUR FGV Holdings Berhad (FGV), melalui anak syarikat dan cabang teknologinya, FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), memodenkan pengurusan operasi kilang sawit melalui pelaksanaan Sistem Bersepadu Kilang Sawit yang juga dikenali sebagai Palm Oil Mill Integrated System (POMIS).
POMIS adalah sebuah sistem yang menawarkan penyelesaian menyeluruh bagi pemantauan operasi kilang sawit secara bersepadu dan automatik.
Sehingga kini, sebanyak 66 daripada 67 buah kilang sawit FGV menggunakan POMIS untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi mereka. POMIS dilengkapi dengan sensor berasaskan teknologi pintar dan sistem automasi terkini untuk meningkatkan pengawasan, pemantauan dan pengendalian operasi harian kilang sawit serta sistem komunikasi yang lebih baik.
Syed Mahdhar Syed Hussain, Pengarah Bahagian Sektor Perladangan Kumpulan FGV berkata, tuntutan untuk mempercepatkan perjalanan IR4.0 Malaysia sangat penting dalam meningkatkan prestasi dan produktiviti kumpulan FGV.
”Sejajar dengan perkembangan IR4.0, Integrasi teknologi sangat diperlukan dalam industri kelapa sawit yang dikenali secara tradisionalnya menggunakan tenaga buruh yang meluas dalam operasi.
”Dengan adanya POMIS, kilang-kilang sawit FGV dapat beroperasi dengan lebih baik dan mencapai kapasiti yang dikehendaki secara konsisten dan sistematik. Ia juga menyumbang kepada amalan perkilangan yang lebih lestari,” kata Syed Mahdhar.
POMIS membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan penting dengan lebih baik berdasarkan analisa data operasi yang dihasilkan setiap hari. Selain itu, ia juga memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat kerana sistem ini dilengkapi dengan ciri keselamatan yang membantu mengurangkan kemalangan ditempat kerja.
POMIS juga membantu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja manusia dalam operasi kilang sebanyak lima peratus hasil daripada perlaksanaan automasi. Ini terbukti bermanfaat terutamanya ketika pandemik, di mana kilang terus beroperasi dalam mod automatik dan hanya sebilangan kecil pekerja diperlukan.
Sistem ini juga mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 15 peratus untuk pembakaran dandang, yang seterusnya menyumbang kepada pelepasan karbon yang lebih rendah.
Pusat kawalan automasi menggunakan POMIS di kilang sawit FGV
Sebelum pelaksanaan POMIS, proses kilang sawit seperti pensterilan, kawalan pembakaran dandang, motor dan suhu stim dipantau secara manual oleh pengendali.
Dengan POMIS, proses tersebut dapat dilakukan dengan pemantauan secara terus dari skrin monitor yang disediakan. Sistem automasi telah menggantikan kerja-kerja yang sebelum ini dilakukan secara manual oleh pengendali, yang secara tidak langsung mengurangkan potensi kesalahan yang dilakukan oleh manusia.
POMIS dilengkapi dengan sistem Motor Kawalan Berpusat bagi mengesan status pengoperasian motor seperti “run, stop, trip” dan “overload” pada peralatan dan mesin-mesin yang berkaitan.
Ciri lain adalah sistem “Load Monitoring” yang memastikan konveyor beroperasi dengan lancar dan tidak terganggu. Ini mengurangkan risiko operasi kilang terhenti tiba-tiba akibat terlebih bebanan buah sawit pada konveyor.
FGV Prodata merekabentuk, membangun dan memasang sistem-sistem yang berkaitan dalam memberi nilai tambah kepada operasi kilang agar fungsi dan keberkesanan kilang-kilang sawit FGV dapat ditingkatkan ke tahap maksima.
Sekiranya ada keperluan, FGV Prodata juga menawarkan khidmat konsultasi untuk pemodenan operasi, ataupun penubuhan baru kilang sawit. – MalaysiaGazette