Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Seramai 40 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut beliau, 31 daripada petugas kesihatan itu dijangkiti kurang dua minggu selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 dan sembilan lagi selepas tempoh tersebut.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 142 petugas kesihatan pula dijangkiti Covid-19 selepas dos pertama vaksin.

Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting kesemua petugas kesihatan dijangkiti wabak tersebut tidak mempunyai simptom yang teruk.

“Jelas bahawa kita masih boleh dijangkiti selepas melengkapkan vaksinasi tetapi mungkin tidak teruk,” katanya sambil mengingatkan semua pihak supaya mematuhi semua langkah kesihatan awam. – MalaysiaGazette