ACP Mohamad Zainal Abdullah

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan empat individu disyaki terlibat dalam video kedua iklan raya mempromosikan judi haram yang tular sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Muhamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek itu dikenalpasti sebagai pelakon dalam video kedua iklan raya yang berdurasi tiga minit lapan saat itu.

Mereka berusia antara 24 hingga 32 tahun dan salah seorangnya adalah wanita.

“Selepas video kedua dikesan tular dalam media sosial, kita sudah melancarkan pencarian suspek dan hasilnya empat individu ditahan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mereka telah ditahan di sekitar ibu negara.

Jelas beliau, setiap antara mereka menerima upah RM200 seorang untuk berlakon dalam video tersebut.

Video kedua itu dikesan tular dalam media sosial sejak semalam selepas video pertama pada 15 April lalu.

Kesemua mereka reman selama dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan polis.

Tambah beliau kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kelmarin, seramai lapan individu telah ditahan, antaranya penerbit, produser serta pelakon video pertama.

Sebanyak 38 laporan polis telah diterima berkaitan video pertama itu manakala suspek utama yang disyaki dalang penghasilan kedua-dua video lama itu sedang diburu polis.-MalaysiaGazette