Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan bermula 19 April sehingga 2 Mei 2021 susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di situ.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 396 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 43 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan ke komuniti luar.

Dalam pada itu, PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut, Terengganu yang sepatutnya tamat pada 20 April ini disambung semula mulai 21 April sehingga 27 April 2021.

Ismail Sabri menambah, keputusan itu dibuat selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,038 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 103 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

KKM melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast