Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah pada sidang media pada Ops Sarang di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Dakwaan suspek utama kes belasah dua pengawal peribadi diberi layanan istimewa oleh polis sehingga dia boleh meminta maaf tidak timbul langsung.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah menegaskan, kenyataan yang dibuat oleh suspek itu secara kebetulan ketika dia hendak diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Ramai wartawan berada di lobi sejurus selepas selesai sidang media berkaitan isu video raya yang mempromosikan judi.

“Suspek yang diambil oleh IPD Klang Selatan secara kebetulan melalui lobi dan wartawan mengambil gambar suspek sementara menunggu kenderaan mpv polis sampai di perkarangan lobi.

“Suspek ketika itu terus bercakap begitu sahaja dan bukannya suspek membuat sidang media,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malah, tegasnya, wartawan yang berada di situ juga tidak bertanya sebarang soalan kepada suspek yang berusia 43 tahun itu.

“Suspek sendiri yang memohon maaf dalam bahasa Cina dan dipetik wartawan ketika itu,” tambah beliau.

Mohamad Zainal meminta pihak tertentu agak tidak mengambil kesempatan untuk memanipulasikan isu tersebut sewenang-wenangnya.

Pagi tadi suspek utama yang merupakan seorang ahli perniagaan telah direman selama lima hari sehingga Khamis untuk membantu siasatan memukul dan menggugut bunuh, selain penglibatan dalam kegiatan haram serta pengubahan wang haram.

Kes disiasat dibawah Seksyen 304, 324 dan 506 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Padahnya sekian lama DEB 30% ekonomi untuk MAJORITY pribumi Melayu supaya MINORITY bukan Melayu meraih 70% ekonomi yang menyalahi bukan sahaja hak perlembagaan keistimewaan Melayu tetapi juga common sense.

Comments are closed.