Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berbual bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali ketika hadir solat terawih di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2021.

GOMBAK – Dasar Pelaburan Baharu akan dilaksanakan serta-merta selepas ia dibentangkan kepada Jemaah Kabinet pada Rabu ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar itu bakal merancakkan pelaburan asing ke negara ini.

“Rabu ini saya akan membentangkan kertas Kabinet mengenai dasar pelaburan baharu yang akan kita laksanakan serta-merta.

“Dasar baharu ini akan memberikan tumpuan kepada inovasi, teknologi dan juga digital kerana ia adalah masa depan negara ini.

“Malahan dalam lawatan kerja saya di Jepun dan Korea baru-baru ini pun mereka menyambut baik langkah kerajaan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Al-Amaniah di Batu Caves malam ini.

Terdahulu beliau bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah bersama ahli kariah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memastikan dasar baharu itu kelak sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan oleh piawaian Antarabangsa iaitu Environment Social Governance (ESG).

“Inilah usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh MITI dan kita telah nampak hasilnya kerana lawatan kerja saya ke Jepun dan Korea baru-baru ini.

“Di sana sahaja, kita telah dapat persetujuan pelaburan bernilai lebih RM6 bilion.

“Ia hasil pertemuan dan perbincangan saya dengan syarikat-syarikat gergasi di Jepun dan Korea. Insya-Allah usaha ini akan kita teruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast