Chow Kon Yeow (depan) melawat pusat pemberian vaksin Covid-19 bagi Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini. Gambar - Ihsan pejabat ketua menteri.

GEORGE TOWN – Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pulau Pinang belum mencapai 50 peratus walaupun fasa kedua program tersebut bermula hari ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, bilangan pendaftaran PICK setakat ini ialah seramai 619,804 iaitu 44.8 peratus sekali gus menunjukkan jumlah pendaftaran vaksin masih perlahan.

Chow Kon Yeow.

“Sebelum ini saya umum pendaftaran penerimaan vaksin sudah capai 40 peratus dan saya jangkakan ia sudah sampai 50 peratus namun terkini kita dapati ia hanya capai 44.8 peratus.

“Bilangan ini sekali gus menunjukkan jumlah pendaftaran vaksin masih lagi perlahan dan kita berharap jumlah pendaftaran akan meningkat ketika fasa kedua program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin Covid-19 bagi Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan 1.34 juta penduduk di negeri itu divaksin dan berharap pelaksanaan fasa kedua program PICK dapat meningkatkan keyakinan orang ramai untuk mendaftar.

“Kita sedar logistik vaksin yang diedarkan mempengaruhi perjalanan program ini tetapi kita percaya bilangan pendaftaran setakat ini masih mampu kita penuhi.

“Selain itu, saya juga ingin ingatkan mereka yang telah mendaftar penerimaan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera perlu kerap menyemak tarikh temu janji kerana hampir 30 peratus individu dikatakan gagal mengesahkan kehadiran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” kata Kon Yeow.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang terawal melaksanakan proses pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua.

Katanya, seramai 2,024 warga emas berusia lebih 60 tahun akan menerima vaksin Covid-19 di lima pusat pemberian vaksin di negeri itu.

Koid Kooi Hong,95, salah seorang warga emas yang menerima vaksin bagi fasa kedua di Pulau Pinang hari ini.

“Selain warga emas, pesakit kronik, orang kelainan upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi antara penerima vaksin Covid-19 bagi fasa kedua ini.

“Kita teruja melihat golongan warga emas ini datang mendapatkan vaksin tanpa sebarang ragu-ragu dan ini sekali gus menunjukkan mereka memberi kepercayaan kepada PICK yang dilaksanakan kerajaan,” kata beliau.

Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan menegaskan seramai 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi termasuk individu mempunyai komorbiditi. warga emas, pesakit kronik dan OKU. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast