Jose Mourinho.

LONDON – Jose Mourinho akhirnya ditunjuk jalan keluar selepas dipecat Tottenham Hotspurs hari ini, lapor BBC.

Waktu kendalian Mourinho bersama Spurs berakhir selepas pengerusi kelab, Daniel Levy, mengambil tindakan drastik selepas deretan keputusan mengecewakan bagi separuh kedua musim 2020-21.

Mourinho telah dipecat Tottenham setelah dipanggil untuk berbincang hari ini kurang dari seminggu sebelum final Piala Carabao.

Difahamkan, jurulatih pasukan pertama, Ryan Mason dan Chris Powell akan bertugas sebagai pengendali sementara bagi bakimusim ini.

Hasil seri Tottenham 2-2 di Everton pada Sabut lalu meletakkan mereka ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) lima mata ketinggalan daripada slot ke Liga Juara-Juara (UCL) dan Levy telah memutuskan waktu buat pengendali Portugal itu sudah berakhir.

Mourinho dan Spurs banyak kehilangan mata selepas mendahului perlawanan berbanding mana-mana kelab yang bersaing dalam EPL serta mengalami masalah bilik persalinan bersama barisan pemainnya.

Dilantik sebagai pengganti Mauricio Pochettino November 2019, Mourinho membimbing Tottenham ke kedudukan keenam pada musim pertamanya.

Tottenham kembali ke aksi liga awal pagi Khamis menentang Southampton.

Mereka juga akan turut beraksi dalam final Piala Liga menentang Manchester City di Wembley Ahad ini dalam misi meraih trofi pertama kelab sejak mereka memenangi pertandingan sama pada tahun 2008. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast