WASHINGTON – Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menggesa syarikat-syarikat penerbangan supaya lebih berhati-hati semasa menggunakan ruang udara sempadan Ukraine-Rusia yang didakwa ada potensi risiko keselamatan.

Dalam notis kepada syarikat-syarikat penerbangan Amerika Syarikat, FAA berkata, ketegangan serantau antara Rusia dan Ukraine berpotensi mengakibatkan pertempuran sempadan tanpa pemberitahuan, peningkatan aktiviti ketenteraan dan/atau konflik.

Sejak tahun 2014, FAA telah melarang operasi penerbangan awam AS. di wilayah sekitar sempadan Ukraine-Rusia.

Notis itu juga mengatakan syarikat penerbangan mesti memberikan notis sekurang-kurangnya 72 jam kepada FAA mengenai penerbangan yang dirancang di rantau itu.

FAA dan pengawal selia udara lain prihatin tentang kemungkinan pesawat awam dijatuhkan semasa konflik kerana sukar dikenal pasti.

Pada tahun 2014, Malaysia Airlines MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine oleh peluru berpandu dari wilayah yang dikuasai oleh pemberontak pro-Rusia semasa bertempur dengan tentera pemerintah Ukraine, kata penyiasat antarabangsa.

Kesemua 298 orang penumpang di dalamnya terbunuh. – MalaysiaGazette