Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah B40 dan mereka yang memerlukan.

ia perlu dilakukan segera, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Strategi terbaru dan insentif berpatutan perlu digunakan untuk mendapatkan komitmen daripada lebih banyak penyumbang termasuk pengilang, syarikat korporat dan pasar raya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohamad juga mahu tadbir urus yang proaktif  diperlukan untuk mengawal harga barangan asas supaya rakyat tidak terus terbeban dalam saat getir seperti sekarang.

Kerajaan perlu berhenti dengan tindakan reaktif mereka dalam hal yang sama, katanya.

“Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar untuk memastikan kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

Menurut Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, rakyat Malaysia terus melalui saat yang sukar demi kelangsungan hidup dan kerajaan sehingga saat ini gagal memberikan solusi tuntas dan segera.

“Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli.

“Yang lebih membimbangkan ialah kenapa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang baru diumumkan dan akan dikuat kuasakan bermula 21 April hanya melibatkan 12 barangan kritikal?

“Adakah wajar untuk membiarkan rakyat terus terhimpit sementara menunggu kerajaan menyenaraikan barangan lain dalam Skim tersebut. Kenapa perlu menunggu ketibaan hari perayaan untuk berbuat demikian?’ soalnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau menambah, kenaikan harga barang sekali lagi melanda negara lebih-lebih lagi mendekati musim perayaan.

“Rakyat terus terhimpit kerana pemulihan sektor ekonomi terus perlahan, kadar pengangguran yang tinggi serta isu ‘underemployment’ semakin kritikal.

“Jadi bila berlaku kenaikan harga barangan asas, kehidupan begitu ramai rakyat Malaysia menjadi sangat sukar. Punca kenaikan harga selalunya adalah disebabkan peningkatan permintaan melebihi penawaran.

“Adakah ini bermakna bekalan makanan negara tidak mencukupi? Dan jika mencukupi, setakat berapa lama lagi kecukupan itu akan bertahan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast