Chelsea dan Brighton berpuas hati dengan berkongsi satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan dalam aksi EPL awal pagi tadi di Stamfor Bridge.

LONDON – Chelsea berjaya melonjak ke tangga keempat dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencapai keputusan seri dengan Brighton & Hove Albion.

Dalam aksi di Stamford Bridge, kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan,  sekadar terikat seri tanpa jaringan dan berkongsi mata.

Keputusan ini membolehkan Chelsea memintas West Ham yang hanya dibezakan dengan jurang jumlah jaringan dan mara ke tangga keempat dalam carta liga.

Kedua-dua pasukan memungut 55 mata selepas 32 perlawanan setakat ini.

Sebelum perlawanan itu bermula, para penyokong kedua-dua pasukan berkumpul di hadapan Stamford Bridge dan menyatakan bantahan ke atas pemilik kelab berkenaan Roman Abramovich yang mengheret kelab ke dalam Liga Super Europa.

Penjaga gol the Blues, Petr Cech kebetulan tiba ke perkarangan bersama pasukan memujuk dan menasihati penyokongnya supaya bersurai tanpa sebarang masalah.

Petr juga menagih kerjasama mereka memberi laluan kepada kedua-dua pasukan masuk ke dalam stadium untuk meneruskan perlawanan EPL.

Petr Cech yang kini memegang peranan sebagai penasihat teknikal kelab itu menyeru penyokong memberi laluan kepada pasukan masuk ke dalam premis.

Ia menyebabkan perlawanan telah bermula 15 minit lewat.-MalaysiaGazette