Keadaan kereta Proton Persona yang remuk selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 86 Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam petang semalam.

KLUANG – Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan kereta dan dua buah lori di Kilometer 86 Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, dekat sini petang semalam.

Kemalangan pada 6.30 petang itu berlaku apabila mangsa, Shahrul Nizam Khamis, 28, yang memandu kereta jenis Proton Persona melanggar belakang lori di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah lori lain.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, kata Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohd Faizal Rozali berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kereta mangsa yang remuk teruk menyebabkan bomba terpaksa menggunakan alat khas bagi mengeluarkan mayat.

Operasi tamat pada jam 7.08 petang, katanya. – MalaysiaGazette