Enam kelab EPL berjaya menarik diri daripada gabungan Liga Super yang mencetuskan kontroversi dan menerima bantahan penyokong bola sepak di Eropah. foto Agensi

LONDON – Rentetan bantahan demi bantahan dan kecaman penyokong, enam kelab elit Liga Perdana Inggeris (EPL) menarik diri daripada penyertaan dalam gabungan Liga Super Europa (ESL) hari ini.

Kesemua enam kelab berikut adalah Arsenal, Liverpool , Chelsea, Manchester United, Manchester City dan Tottenham Hotspur.

Manchester City adalah kelab paling awal berbuat demikian selepas the Blues memberi petanda untuk keluar daripada gabungan itu dengan menyediakan dokumentasi rasmi.

Kesemua enam kelab berkenaan menerima surat tawaran menyertai ESL daripada pengerusi bertanggngjawab Florentino Perez.

Pengumuman keanggotaan 12 pasukan elit Eropah di dalam liga super berkenaan pada Ahad lalu telah mencetuskan kontroversi sehingga menerima kritikan dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Kedua-dua badan kawal selia bolasepak sedunia dan Eropah itu bertegas akan mengambil tindakan menggantung kesemua pemain pasukan elit itu daripada menyertai piala dunia dan kejohanan Euro bersama pasukan kebangsaan mereka.

Malah pasukan separuh akhir yang akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa juga diberi amaran akan disingkirkan Jumaat ini daripada meneruskan baki saingan temasya kali ini.

Penyokong dan pemerhati bola sepak Eropah menyifatkan pembentukan ESL sebagai sifat tamak dan kemaruk kuasa wang yang ingin dicapai pihak tertentu yang didominasi syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Mengetahui kegagalan ESL, semalam Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United Ed Woodward telah meletakkan jawatannya di Old Trafford.

Kelab EPL iaitu Man City, Liverpool dan Manchester United dalam kenyataan ringkas  menyatakan mereka menarik diri daripada ESL setelah mendengar teliti pendapat dan teguran para penyokong kelab masing-masing.

The Gunners dalam surat terbuka pagi ini meminta maaf kepada penyokongnya atas tindakan terburu-buru menyertai ESL tanpa berbincang secara teratur dan mengambil kira emosi mereka.

Tottenham juga meluahkan rasa kesal berikutan tindakan mereka menyertai ESL dan segera mengikuti jejak lima kelab lain dan menarik diri dari liga super tersebut.-MalaysiaGazette