JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan 450 hingga 1,000 pek bungkusan makanan berbuka sepanjang bulan Ramadan kepada pelajarnya.
Pengarah Pusat Islam UTM, Prof Madya Dr Aminuddin Ruskam berkata, Program Iftar Ramadan UTM itu adalah inisiatif yang dijalankan Masjid Sultan Ismail UTM.
Katanya, makanan diperolehi hasil sumbangan dana warga  UTM, pelajar dan juga masyarakat awam.
“Objektifnya bagi membudayakan Ihya Ramadhan dengan menghidupkan budaya infaq dan sedekah.
“Sumbangan ini tidak terhad, ia boleh diambil semua pelajar UTM.
“Pek makanan tidak tentu, paling sedikit kami sediakan 450 pek sehingga 1,000 pek bergantung kepada sumbangan. Ia bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk membeli, mereka boleh datang ambil secara percuma,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Amiuddin, proses agihan dibahagikan kepada dua iaitu di masjid dan kawasan kolej kediaman.
“Bermula dari satu hingga 16 Ramadan agihan di perkarangan masjid. Masuk Hari ke 17 Ramadan sehingga akhir Ramadan proses agihan akan dibuat di kolej penginapan.
“Untuk agihan di masjid, mereka boleh pergi ke bahagaian hadapan masjid bermula jam 5 petang,”katanya. – MalaysiaGazette