KOTA BHARU – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memperuntukkan RM1.5 juta setahun bagi menanggung kos guaman ahlinya yang berdepan tindakan undang-undang berkaitan tugas sebagai guru.
Presidennya Aminuddin Awang berkata, bantuan itu meliputi kes saman sivil dan pendakwaan jenayah, dengan kos guaman bagi sesetengah kes boleh mencecah RM80,000.
Beliau berkata, saman sivil kini semakin banyak difailkan terus terhadap guru berbanding kerajaan atau jabatan pendidikan.
“Kadang-kadang ada ibu bapa mahupun masyarakat membuat saman sivil terhadap guru atas pelbagai alasan, termasuk perkara yang sebenarnya boleh diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP ke-24 di sini malam tadi.
Aminuddin berkata NUTP turut membantu ahli yang berdepan pendakwaan jenayah sekiranya terdapat unsur penganiayaan terhadap guru berkenaan.
Beliau berkata sehingga Ogos lepas, 16 kes telah mendapat bantuan guaman NUTP termasuk tiga kes yang sedang dibicarakan di Kelantan.
“Antara kes yang sering dihadapi guru ialah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ringan kepada seseorang. Walaupun ia bersifat dakwaan kes jenayah, kita tetap akan memberikan pembelaan kepada ahli kita,” katanya.
Beliau berkata, NUTP mempunyai panel tetap firma guaman bagi mengendalikan kes ahlinya dan menggalakkan guru yang belum menjadi ahli supaya menyertai kesatuan bagi mendapatkan kemudahan berkenaan. – BERNAMA
















