foto: Bomba

KOTA KINABALU – Kira-kira 17 rumah hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku di jalan Lok Kawi Lama-Kampung Dumpil, Putatan kira-kira 10.19 malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang ke kawasan kejadian sejauh 14 kilometer.

Anggota dari BBP Kota Kinabalu juga turut digerakkan ke tempat kejadian bagi membantu proses pemadaman api.

“Kemusnahan rumah kediaman jenis tidak kekal dianggarkan sebanyak 17 buah dengan 100 peratus musnah terbakar bagaimanapun, kecekapan anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selepas setengah jam pemadaman api oleh 30 anggota,” menurut kenyataan PGO Sabah di sini hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Putatan memaklumkan semua mangsa akan ditempatkan di Dewan Sri Keramat hari ini.

Proses pemantauan di lokasi serta pengambilan data dan persediaan di pusat pemindahan sementara (PPS) masih dijalankan oleh agensi yang terlibat. – Bernama

1 Komen

  1. Rumah terbakar layak dapat PPR, so next rumah Myanmar Rohingya di Bukit Malut tunggu masa nak terbakar menjelang kempen PRU15 nanti lebih cepat dapat PPR, kan?

Comments are closed.