Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendengar penerangan daripada Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Hisamuddin Termidi (kanan) sambil diiringi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (dua kanan) serta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (empat kanan) ketika melawat ruang pameran pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Industri Mineral Negara (TIM) 2021-2030 di Marriot Hotel, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) menjadi agenda baharu negara, sebagai rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri terbabit dibangunkan secara holistik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini sumber mineral memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan manusia.

Menurutnya, hampir semua perkara yang berada di sekeliling kita memerlukan sumber mineral dalam penghasilan atau pembuatannya, seperti jalan raya, bangunan, kereta dan telefon pintar, yang memerlukan sumber mineral seperti batu kapur, bauksit, pasir silika, bijih besi dan unsur nadir bumi.

“Menyedari nilai strategik industri ini kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara, kita perlulah membangunkan industri ini secara bertanggungjawab dan mampan.

“Kerajaan amat komited dalam memastikan pelan ini berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan khususnya bagi mengangkat kembali industri ini menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.

“Pada 2030, Kerajaan menyasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK akan meningkat kepada RM29 bilion,” katanya ketika melancarkan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku Pengerusi Majlis Mineral Negara, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah negara yang kaya dengan hasil mineral, Malaysia harus bijak memposisikan diri serta mengambil peluang untuk meneroka dan membangunkan sumber yang dimiliki.

Menurutnya lagi, sesi-sesi konsultasi dan libat urus perlu diteruskan bersama kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, penggiat industri, ahli akademik dan masyarakat awam bagi menggarap idea-idea terbaik dalam membangunkan industri berkenaan.

Selain itu jelas beliau, agensi-agensi berkaitan juga harus meneliti aspek galakan sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau bukan kewangan bagi menyokong perkembangan industri mineral yang bertanggungjawab dan mampan.

“Kerajaan juga mengharapkan kolaborasi strategik pelbagai pihak bagi bersama-sama mentransformasi industri ini supaya benar-benar membawa manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

“Industri ini tidak lagi boleh dilihat sebagai suatu industri hanya digerakkan oleh pihak industri tanpa ada sentuhan kepada kehidupan rakyat,” tambahnya.

Muhyiddin turut mengajak para sarjana dalam bidang berkaitan agar terlibat dengan lebih aktif dengan memberikan buah fikiran, manakala masyarakat awam juga boleh turut terlibat memberikan pandangan-pandangan yang bersifat konstruktif.

“Kerajaan yakin dengan pelan yang dibangunkan ini, kita mampu mencapai tahap industri mineral masa hadapan yang diurus secara bersih dan cekap dengan mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini yang mesra alam.

“Pertumbuhan industri ini di peringkat pertengahan dan hiliran juga akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai tenaga mahir tempatan dan membawa pulangan yang lebih tinggi kepada negara.

“Saya juga yakin kita akan dapat meningkatkan daya saing industri mineral agar setanding dengan industri di negara-negara perlombongan yang maju antaranya seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, China, Australia dan Kanada.

“Sasaran ini memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan, industri, akademia, pertubuhan dan masyarakat umum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast