Foto Twitter Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah FC) hari ini melancarkan kit jersi ketiga sebagai jersi pilihan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Sabah FC dalam satu kenyataan berkata, jersi tersebut dikenali sebagai The Bayu kerana mengambil inspirasi daripada motto negeri Sabah yang digelar sebagai Negeri di Bawah Bayu.

Land Below The Wind adalah nama kawasan yang diberikan oleh para pelayar untuk merujuk kepada semua kawasan daratan yang terletak di bawah kawasan taufan Barat laut Lautan Pasifik,” tulis kenyataan itu di Twitter rasmi Sabah FC.

Turut dimuatnaik rakaman video pengenalan mengenai jersi tersebut.

Menggunakan jenama Lotto, jersi ini menjadikan warna putih sebagai warna asas ditambah pula dengan elemen garisan berwarna merah dan biru di bahagian depan sebagai warna rasmi bendera negeri Sabah.

Seperti jersi Home dan Away, jersi ketiga ini dijangka akan dijual pada harga RM109 dan boleh didapati secara online melalui laman web Sabah FC iaitu: https://sabahfc.onpay.my/.

Maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui laman sosial rasmi Sabah FC.

Sementara itu, perlawanan menentang Selangor FC malam ini akan menyaksikan ‘debut The Bayu’ di Liga Super 2021. – MalaysiaGazette