Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Tawau, Sabah dan Sungai Passin, Matu, Sarawak.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini PKPD yang dilaksanakan dua kawasan di Tawau, Sabah iaitu Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan dijadualkan tamat esok.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 607 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 81 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti tersebut.

”KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan harian hari ini.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjut PKPD di Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021.

Bagi perkembangan di Sungai Passin pula, KKM telah melaksanakan 442 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 49 kes positif direkodkan.

Menurut beliau, KKM turut melaporkan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD serta kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 19 April 2021 iaitu sebanyak lima kes positif.

Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Sungai Passin, Matu, Sarawak bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021, ujar beliau.

Dalam pada itu, PKPD di enam lokaliti di daerah Tawau, Sabah iaitu Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit ditamatkan esok. – MalaysiaGazette