Gambar hiasan

SELAMA seminggu, bermula 24 hingga 30 April 2021, negara dan seluruh dunia akan menyambut Minggu Imunisasi Sedunia. Di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sambutan ini akan diadakan pada setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran berkaitan faedah imunisasi dan mempromosikan vaksinasi.

Menurut carian umum kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Imunisasi bermaksud perihal atau perbuatan mendapatkan atau memberikan perlindungan daripada penyakit menerusi suntikan manakala vaksinasi bermaksud proses penyuntikan vaksin ke dalam tubuh seseorang sebagai langkah perlindungan mencegah sesuatu penyakit.

Pada tahun ini, tema sambutan yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO) ialah ‘’vaksin mendekatkan kita’’ (Vaccines bring us closer) selari dengan program imunisasi vaksin COVID-19 yang berlangsung diseluruh dunia baru-baru ini.

Sejarah imunisasi negara kita bermula seawal tahun 1950-an apabila Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) diperkenalkan dengan tujuan untuk mengurangkan penyakit tuberculosis (batuk kering), Hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), mumps (beguk), human papilloma virus (HPV), demam campak (measles), rubella, tetanus dan polio. Hasilnya kadar jangkitan penyakit Difteria dan Tetanus turun dengan drastik. Begitu juga dengan penyakit Cacar (small pox).

Setelah program vaksinasi cacar dilakukan secara menyeluruh, negara telah berjaya diisytiharkan sebagai bebas dari cacar pada tahun 1980. Seawal tahun 1989, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 24 telah memutuskan bahawa Program Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Difteria, Tetanus dan Polio adalah harus dari segi syarak kerana berdasarkan kaedah “menolak
kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan’’ dalam hukum Islam.

Pemeliharaan kesihatan ini juga adalah bertepatan dengan Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa( hifz an-nafs), memelihara agama (hifz ad-din), memelihara akal (hifz al-aql), memelihara keturunan (hifz an-nas) dan memelihara harta benda (hifz al-mal).
Orang ramai tidak perlu gusar untuk menerima sebarang vaksin. Ini kerana vaksin seperti ubat-ubatan yang lain perlu menjalani ujian rapi untuk memastikan ianya selamat sebelum diberikan kepada manusia.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi
Negara (NPRA) akan menjalankan penyelidikan dan ujian dengan rapi sebelum meluluskan sesuatu vaksin dan ia perlu menepati kesemua tiga ciri utama iaitu selamat, berkesan dan stabil.

Kebaikan imunisasi dan vaksinasi adalah amat jelas dimana melalui kaedah imuniti berkelompok (herd imuniti), penyakit yang berjangkit dan merbahaya boleh dikawal dan dihapuskan. Ini sekali gus melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, warga emas, kanak-kanak dan individu imunokompromi.

Namun begitu, terdapat golongan-golongan antivaksin yang muncul dan cuba
mempromosikan dakyah kepercayaan mereka. Golongan ini mengangkat pseudosains dan hanya mempercayai sesuatu perkara berdasarkan kefahaman yang sangat cetek.

Perkara ini diburukkan lagi apabila terdapat suara-suara sumbang yang mula mempertikaikan program vaksinasi Covid-19 dengan memberikan pelbagai hujah yang tidak masuk akal dan cubaan menakut-nakutkan orang ramai. Ingatlah bahawa individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan hukuman penjara.

Ini diperuntukan di dalam Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No 2) 2021 Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada 11 Mac 2021. Ia menyatakan bahawa mana-mana orang melalui apa-apa cara dengan niat menyebabkan ketakutan dan kebimbangan orang awam atau kepada mana-mana golongan orang awam, menyebarkan apa-apa berita tidak benar boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Secara kesimpulannya, janganlah menolak benda yang baik seperti imunisasi dan vaksinasi. Percaya dan yakinlah kepada pakar perubatan bertauliah dan pemerintah yang menjaga rakyatnya. Ingatlah firman Allah di dalam Surah al-Ma’idah ayat 32 yang bermaksud “…bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…”

OLEH: Prof Madya Dr Azrul Hafiz bin Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr Rahimah binti Mohd Sahudi @ Sahud
Pegawai Perubatan, KKM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast