ACP Mohamad Zainal Abdullah

KUALA LUMPUR – Polis meminta orang ramai tidak memanipulasi isu berkaitan gambar majikan kepada dua pengawal peribadi yang dibawa ke mahkamah tanpa bergari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek yang dituduh memukul pengawal peribadi bukan dalam tahanan polis ketika beliau dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk tujuan pertuduhan.

Katanya, suspek terbabit telah pun diberi jaminan polis sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kelang Selatan.

“Maka pihak polis tidak boleh menangkap semula dan menggari beliau atas kesalahan yang sama hanya semata-mata untuk tujuan dibawa ke mahkamah.

“Justeru, tidak timbul isu suspek mendapat layanan istimewa kerana undang-undang telah menetapkan sedemikian bahawa tiada siapa yang boleh ditangkap atas kesalahan yang sama sepertimana yang termaktub di bawah artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas artikel yang memaparkan gambar majikan terbabit tidak digari ketika diiringi oleh pegawai polis yang bertugas ke mahkamah.

Gambar tersebut tular di laman media sosial dengan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu Mohamad Zainal yang mengulas isu majikan tersebut ke mahkamah tanpa memakai baju lokap berkata, Polis Dang Wangi telah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118 iaitu ‘apabila banduan dibawa ke mahkamah, dia hendaklah memakai pakaian yang dipakai semasa dia ditangkap, melainkan pakaian berkenaan dijadikan barang kes’.

Justeru kata beliau, orang ramai diminta agar tidak memanipulasi isu berkenaan sehingga boleh menyebabkan salah faham, menimbulkan kekeliruan, dan menggambarkan keadaan yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan reputasi dan imej PDRM di mata masyarakat. – MalaysiaGazette