Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Masih banyak perkara yang perlu diambil kira termasuk soal pandemik Covid-19 sebelum UMNO membuat sebarang keputusan untuk melaksanakan pemilihan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya perlu merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai prosedur operasi standard (SOP) sebelum melaksanakan pemilihan parti.

“Banyak perkara perlu diambil kira sebelum kita nak buat perhimpunan di peringkat akar umbi, di peringkat negeri, dan bahagian.

“Jadi tak semudah itu untuk mengadakan mesyuarat pemilihan, kena rujuk dengan MKN dan beberapa pihak.

“Ia bagi memastikan apa nak dibuat itu licin, lancar dan tidak dipertikaikan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, hari ini.

Terdahulu Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak menghadiri mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung hampir dua jam sejak 4 petang tadi.

Dalam pada itu, Tajuddin juga mengesahkan bahawa setakat ini tiada tarikh yang sesuai ditetapkan bagi pemilihan UMNO kali ini.

“Pemilihan ada bincang juga, tapi tak ada tarikh lagi, sebab banyak perkara perlu dibincangkan tentang kedudukan ovid-19, SOP dan sebagainya.

Tajuddin turut mendedahkan sepanjang mesyuarat UMNO itu berlangsung, tiada sebarang desakan daripada mana-mana ahli MKT UMNO untuk menyegerakan pemilihan itu.

“Kita tidak ada desakan untuk mengadakan pemilihan, kita nak beri tumpuan kepada masalah yang dihadapi rakyat sekarang iaitu Covid-19.

“Kita tak mahu nanti kerana kita nak mengadakan perhimpunan, perhatian dan fokus kita kepada permasalahan rakyat diketepikan.

“Soal tidak ada mendesak, pemilihan tidak mendesak, tiada siapa pun yang mendesak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette