Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kampung Meruntum, Putatan, Sabah esok seperti yang dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 127 ujian saringan dan 22 daripadanya positif Covid-19.

“KKM juga memaklumkan, berlaku penurunan kes manakala semua kes positif serta kontak rapat juga telah diasingkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Tapah, Perak seperti seperti yang dijadualkan.

“Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 3,572 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya, 921 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Sehingga hari ini, KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dengan kluster terkawal serta tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette