Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)
Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan Parlimen hanya akan bersidang selepas tamatnya darurat, dipersoal Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Ketua Penerangannya, Zaidel Baharuddin mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih enggan membuka sidang Dewan Rakyat sedangkan sebilangan besar Ahli-ahli Parlimen sudah disuntik vaksin Covid-19.

“Kenyataan Takiyuddin ini menimbulkan beberapa persoalan, pertamanya adakah kerajaan Perikatan Nasional berpandangan bahawa tahap kesihatan ahli-ahli parlimen jauh lebih bernilai dari kanak-kanak di sekolah rendah?

“Mengapa kerajaan rela mempertaruhkan kesihatan pelajar-pelajar sekolah dan yakin dengan perancangan bagi menguruskan jutaan pelajar tetapi tidak mampu untuk menguruskan perjalanan Parlimen yang hanya melibatkan sebilangan kecil ahli parlimen dan pegawai-pegawai mereka?

“Bukankah sebahagian besar dari ahli-ahli parlimen telah pun menerima suntikan vaksin, kalau dibandingkan dengan jutaan pelajar sekolah, guru-guru, staf am dan ibu bapa pelajar berkenaan, risiko penularan di parlimen adalah jauh lebih rendah,” soalnya.

Zaidel merujuk kepada jaminan Takiyuddin Parlimen akan segera bersidang apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti.

Takiyuddin berkata, ia bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperoleh oleh kerajaan daripada semua pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Jelas Zaidel, pihaknya tidak meminta kerajaan menutup semua sekolah di negara ini namun kenyataan Takiyuddin itu menunjukkan bahawa kesihatan dan kesejahteraan Ahli-ahli Parlimen jauh lebih tinggi dari pelajar-pelajar sekolah yang bersekolah kini.

“Penutupan Parlimen yang memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir tanpa sebarang semak dan imbang berpandukan alasan yang diberikan bukan sahaja menidakkan hak demokrasi rakyat tetapi dilihat tidak masuk akal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2021/04/26/sidang-parlimen-selepas-darurat-tamat-takiyuddin/