Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 memberkas dua tekong darat warganegara Indonesia disyaki cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sungai Besar, Selangor.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 berjaya memberkas dua tekong darat warganegara Indonesia disyaki cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sungai Besar, Selangor.

Kesemua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 28 hingga 45 tahun itu ditangkap menerusi Op Benteng Covid-19, Op Nyah Selangor, semalam.

Pegawai Pemerintah, Superitendan Rizal Mohamed berkata, dua suspek terbabit ditahan kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

“Hasil siasatan mendapati, kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan PATI ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut) dengan menggunakan bot nelayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tangkapan itu juga, pihak polis turut merampas sebuah bot berserta enjin dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai berjumlah RM12,500.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

“Tangkapan ini juga telah berjaya memutuskan salah satu sindiket penyeludupan Migran di Daerah Sabak Bernam.

“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga anggota polis,” katanya.

Pihak polis turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette