Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Selepas Singapura bertindak menyekat ketibaan para pelawat yang pernah melakukan perjalanan ke India, Malaysia hari ini mengambil langkah sama.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

“Malaysia melakukan sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari Negara India.

“Mana-mana pengembara yang memulakan perjalanan daripada mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit untuk ke Malaysia adalah dilarang untuk memasuki Malaysia.

“Larangan ini turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun menurut Ismail, pengecualian hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Selain itu, penerbangan dari negara India dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan prosedur sign-off di Malaysia kecuali kru warganegara Malaysia yang hanya wajib menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Putrajaya turut melaksanakan sekatan sementara kemasukan pekerja asing dari India yang ada pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih sah laku.

Malah kemasukan pelajar antarabangsa warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa (business travellers) turut disekat sementara.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, warganegara Malaysia iaitu pelajar dan pekerja, pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tinggal di India dibenarkan memasuki Malaysia.

“Mereka dibebaskan memasuki negara ini dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan dan bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia dibenarkan memasuki Malaysia dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya lagi.

Sekatan itu berkuatkuasa Rabu ini.

Selain Singapura, Kanada dan Pakistan turut melakukan sekatan sama terhadap negara India.

Kes positif Covid-19 di India melonjak dengan penularan varian baharu virus itu – varian ‘double-mutant’ – yang dianggap penyebab lonjakan jangkitan, baru-baru ini. – MalaysiaGazette