Julian Nagelsmann. Foto Sky Sports.

MUNICH – Bayern Munich secara rasmi mengumumkan Julian Nagelsmann sebagai pengurus kelab itu pada musim hadapan.

Nagelsmann akan menggantikan Hansi Flick yang akan melepaskan jawatannya akhir musim ini.

Bayern dalam satu kenyataan berkata, kelab melantik Julian Nagelsmann sebagai pengurus yang baharu.

Anak jati Bavaria berusia 33 tahun itu akan berpindah ke Bayern dari RB Leipzig pada 1 Julai ini menjelang musim hadapan.

“Dia menandatangani kontrak lima tahun  sehingga 30 Jun 2026.

“Ini selepas Bayern setuju dengan permintaan pengurus ketika ini, Hansi Flick yang meminta untuk menamatkan kontrak pada 30 Jun ini iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh akhir kontraknya,” kata kenyataan itu.

Nagelsmann sebelum ini dilaporkan menghantar surat permohonan penamatan kontrak kepada Leipzig selepas Bayern berminat mendapatkan beliau.

Nageslmann menjadi pengurus paling muda dalam sejarah Bundesliga ketika menguruskan Hoffenheim pada usia 28 tahun. – MalaysiaGazette