Dua individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berbincang sesuatu dengan peguam sebelum prosiding di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima wang RM30,000 kononnya boleh menutup satu kes rasuah empat tahun lalu.

Kedua-dua mereka Mohd Faizal Ahmad Mazlan, 42, dan Abas Yaacob, 46, masing-masing diwakili peguam membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bagi mencapai niat bersama telah secara rasuah menyetuju terima suatu suapan,iaitu wang tunai RM30,000 daripada seorang lelaki melalui seorang lagi individu lain.

Suapan yang diterima itu sebagai satu dorongan kononnya untuk menutup kes rasuah terhadap lelaki tersebut yang masih lagi dalam siasatan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran, Jalan Pudu Hulu di sinin pukul 9.32 malam pada 3 Februari 2017.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nordiana Nor Azwa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan alasan jumlah jaminan itu adalah wajar berdasarkan kes yang dilakukan.

Namun, peguam Normah Mohamad Desa yang mewakili Mohd. Faizal dan Evawani Farisyta Mohammad yang mewakili Abas memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana anak guam mereka masing-masing mempunyai tanggungan keluarga selain sudah diisyhtihar muflis.

Menurut kedua-dua peguam itu lagi sepanjang siasatan dijalankan kedua-dua tertuduh turut memberi kerjsama yang baik tanpa gagal hadir di pejabat SPRM.

Selepas mendengar kedua-dua belah pihak, Rozina kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan syarat tambahan iaitu pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Rozina kemudiannya menetapkan tarikh 27 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette