Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun berehat pada ketika rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 20 APRIL 2021

PUTRAJAYA – Prosiding kes rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) penyelewengan dana RM42 juta melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Razak di  Mahkamah Rayuan bersambung dengan pembelaan berhujah balas hari ini.

Peguambela yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah dengan mendakwa sememangnya satu kesalahan kerana menuduh Najib terlibat salah guna kuasa berkaitan dana SRC.

Jelas beliau, pertuduhan salah guna kuasa itu adalah salah dan menyalahi undang-undang memandangkan Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat SRC itu.

Malah kata Muhammad Shafee, ia juga sedia termaktub dalam syarat Seksyen 23(4) Akta SPRM 2009.

Hujahnya, Seksyen 23(4) Akta SPRM 2009 tidak terpakai bagi seseorang pegawai memegang jawatan dalam badan awam sebagai wakil suatu badan awam lain mempunyai kawalan atau separa kawalan atas satu badan.

“Pendakwaan berhujah kononnya Najib mempunyai hasrat untuk memastikan kabinet luluskan jaminan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC dengan habuan berjumlah RM42 juta.

“Saya katakan pertuduhan salah guna kuasa ini adalah salah dan menyalahi undang-undang kerana apabila Najib berada dalam mesyuarat kabinet hakikatnya beliau tidak berada di situ seperti kesalahan diperuntuk dalam Seksyen 23.

“Sebenarnya Kabinet telah membuat keputusan bersama sebulat suara dan bukanlah keputusan Najib sebagai individu atau jawatan Perdana Menteri itu mahupun jawatan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Malah pertuduhan salah guna kuasa ini telah dirangka dengan meletakkan beberapa dakwaan kesalahan lain dalam satu pertuduhan. Ia juga menyalahi perundangan kerana satu pertuduhan jenayah hanya perlu menyatakan satu dakwaan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika prosiding rayuan SRC yang masuk hari ke-13 di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Salah satu daripada tujuh pertuduhan Najib sebagai seorang pegawai badan awam telah menggunakan jawatan untuk suapan apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman KWAP.

Pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

Jelas Muhammad Shafee lagi, ini juga telah menyebabkan pihak pembelaan yang cuba mendapatkan keadilan untuk Najib juga terjejas.

“Sepatutnya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan tiada kes prima facie terhadap Najib namun dalam usaha selamatkan kes pendakwaan ini, beliau (Mohd Nazlan) telah memanjangkan asas kes,” hujahnya.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

‪Keputusan disampaikan Mohd Nazlan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Prosiding bersambung lagi petang ini. -MalaysiaGazette