Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Dakwaan seorang guru Pendidikan Jasmani bergurau keterlaluan seolah-olah mengalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol secara prinsipnya memang salah seperti mana yang tertakluk di dalam Standard Guru Malaysia (SGM) yang diterbitkan pada 2009, waima apapun alasan yang diberikan.

SGM mengandungi etika keguruan yang merupakan prinsip moral dan nilai akhlak yang seharusnya menjadi pegangan dan amalan guru di Malaysia bagi memastikan profesion perguruan sebagai yang dipandang mulia oleh masyarakat.

Fakta asas SGM telah menetapkan bahawa seorang guru tidak boleh mengeluarkan perkataan seumpama itu walaupun sekadar bergurau dengan pelajar yang mungkin dipercayai oleh guru berkenaan boleh dibawa bergurau, kata Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad.

Lantaran itu, perilaku yang didakwa dilakukan oleh seorang guru tersebut dilihat mencemarkan nilai seseorang guru tetapi juga SGM.

Namun, mengambil kira situasi semasa, Anuar menyifatkan tindakan pelajar berkenaan yang menularkan kejadian itu adalah tidak wajar sehingga menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap guru berkenaan.

Keadaan diburukkan lagi apabila guru berkenaan tidak diberi keadilan tentang kebenaran dakwaan tersebut.

“Apabila dakwaan ini ditularkan, orang ramai menghukum guru, apatah lagi bila mangsanya adalah seorang pelajar.

“Tetapi pada masa sama guru juga menjadi mangsa keadaan apabila dakwaan ini tersebar dalam masyarakat sedangkan polis masih menjalankan siasatan,” ujarnya.

Tambah Anuar, sebagai seorang penjawat awam, guru berkenaan tidak sewajarnya terus dipersalahkan sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan sehingga dia benar-benar didapati bersalah.

Mengulas lanjut, beliau percaya selama ini pun KPM dan pihak sekolah tidak pernah berkompromi dengan isu-isu seumpama ini walaupun isu berkenaan tidak ditularkan.

Ini kerana, setiap guru yang merupakan seorang penjawat awam juga tertakluk di bawah tindakan tatatertib jika melakukan kesalahan termasuk mencetuskan gangguan secara verbal.

Namun, apabila isu ini ditularkan, ia seolah-olah memberi gambaran guru yang merupakan seorang penjawat awam terlepas daripada tindakan tatatertib.

“Sedangkan, jika ada kes sekolah dan pejabat pendidikan daerah akan menubuhkan jawatankuasa siasatan, menyiasat dengan teliti untuk membuktikan dakwaan sebelum tindakan diambil,” kata Anuar. – MalaysiaGazette