Najib Razak

PUTRAJAYA – Prosiding rayuan SRC International Sdn Bhd (SRC) penyewelengan dana RM42 juta melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masuk hari ke-14 dengan pasukan pembelaan menyambung hujah hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba awal sekitar 8.45 pagi sebentar tadi, ketika ini sedang dalam rayuan mengetepikan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan SRC.

‪Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Prosiding sebelum ini bermula pada 3 April 2019 dan berlangsung selama 57 hari, melibatkan 76 saksi dari kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hari ini, pasukan pembelaan akan menyambung prosiding dengan peguam belanya, Farhan Read berhujah.

Semalam peguam bela yang mengetuai pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Rayuan pendakwaan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 terhadap Najib adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang negara.

Muhammad Shafee berhujah perayu (Najib) tidak mempunyai kepentingan peribadi mahupun kewangan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang membincangkan jaminan kerajaan untuk SRC mendapatkan pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Najib, sebagai perdana menteri, adalah pengerusi Kabinet, yang merupakan kerajaan pada masa itu. Hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah 100 peratus terkhilaf untuk membuat kesimpulan bahawa beliau menggunakan kedudukannya untuk sebarang suapan,” katanya.

Prosiding bersambung sebentar lagi di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast