Anggota bomba melakukan kerja memadamkan api membabitkan empat buah kenderaan berhampiran Flat Sri Angsana Hilir, Ampang hari ini

AMPANG – Empat buah kenderaan yang diparkir di bahu jalan musnah dalam satu kejadian kebakaran berhampiran Flat Sri Angsana Hilir, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Selangor menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.37 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke lokasi berkenaan.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah van jenis Nissan Vanette dan kereta jenis Daihatsu yang hangus 100 peratus manakala kereta Perodua Kancil dan Proton Persona masing-masing terbakar sehingga 80 peratus dan 40 peratus.

“Anggota menjalankan kerja-kerja memadamkan api menggunakan dua aliran hos dari air tangki dan pam jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya,” katanya.

Katanya, tiada mangsa yang terlibat dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.50 petang. – MalaysiaGazette