Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelajar asrama sekolah dan Kolej Vokasional (KV) di bawah Kementerian Pendidikan yang berada di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pendidikan untuk PKPD juga menetapkan tiada individu dari sekolah dan KV dibenarkan keluar atau masuk ke/dari kawasan terlibat.

“Tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh PKPD berkuat kuasa. Semua aktiviti persekolahan secara fizikal dan kokurikulum adalah ditangguhkan sepanjang PKPD,” demikian menurut SOP sektor pendididikan yang dikongsikan MKN di laman Telegram rasminya.

Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, pergerakan adalah dibenarkan dengan syarat perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis selain wakil keluarga boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)

Selain itu, sumbangan bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tempoh PKPD hendaklah melalui JPBD yang juga bertanggungjawab untuk menyelaras pemberian bantuan bekalan makanan. – Bernama