Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua petugas sebuah badan berkanun Sabah yang disyaki menerima rasuah wang tunai kira-kira RM2,700, semalam.

Difahamkan rasuah berkenaan diminta daripada pekerja yang menjalankan kerja-kerja pertanian di badan berkanun itu sebagai balasan mendapatkan kontrak kerja.

Menurut sumber, seorang daripada suspek berusia 40an ditahan di Tuaran pada pukul 3.15 petang, dan seorang lagi yang berusia 30an ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada pukul 8 malam.

Pengarah SPRM Sabah, S.Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kedua suspek disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Turut dirampas wang tunai berjumlah RM3,500 yang dipercayai juga diterima secara rasuah.

Karunanithy berkata, kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan SPRM. – Bernama