Chelsea intai khidmat bintang Inter Milan Romelu Lukaku namun perlu menyediakan dana 105 juta pound untuk mendapatkannya musim depan

LONDON – Chelsea perlu mengeluarkan dana sebanyak £105juta sekiranya mahu membawa kembali Romelu Lukaku ke Stamford Bridge pada musim depan.

Ini kerana Inter Milan yang menjulang kejuaraan Serie A dalam tempoh 10 tahun perlu melepaskan pemain tersebut berikutan krisis kewangan yang melanda kelab itu.

Pemain berusia 27 tahun itu masih mempunyai kontrak berbaki tiga tahun bersama Inter bernilai £14 juta setahun.

Chelsea kini sedang mengintai penyerang bagi menghadapi liga domestik dan antarabangsa pada musim depan.

Chelsea yang dikendalikan Thomas Tuchel turut meluahkan minat untuk membeli penyerang muda Borussia Dortmund, Erling Haaland namun menerima saingan daripada beberapa kelab elit Eropah.

Lukaku dilihat pilihan terbaik memandangkan pemain itu berpengalaman beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan memahami budaya bola sepak England selain Chelsea juga mengenali pemain itu.

The Blues hampir memuktamadkan khidmat pemain itu pada 2017 semasa meninggalkan Goodisson Park, namun berakhir dengan penghijrahan ke Old Trafford.

Presiden Inter, Steven Zhang kini berada di Milan untuk menentukan masa depan Lukaku dan Pengurus, Antonio Conte.-MalaysiaGazette