Pemandu maut selepas lorinya hilang kawasan sebelum melanggar tembok pagar sekolah di Jalan Lunas-Kelang Lama di sini hari ini.

KULIM – Seorang warga emas maut selepas lori yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tembok pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, Jalan Lunas-Kelang Lama di sini hari ini.

Kejadian jam 10.25 pagi itu menyebabkan, mangsa Ho Eng Wooi, 63, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil siasatan mendapati pemandu itu dalam perjalanan dari arah Lunas menghala ke Kulim.

“Sebaik tiba di lokas tersebut, lori yang dipandu lelaki itu telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar tembok pagar sekolah terbabit.

“Akibat pelanggaran itu mangsa maut di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Azhar, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette