Aplikasi Mudah Alih Nasional yang membolehkan pelbagai perkhidmatan digital diakses akan diwujudkan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemberian 1 gigabait (GB) data harian percuma kepada semua pelanggan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama akan dilanjutkan hingga 31 Julai ini.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pemberian data itu telah dilanjutkan beberapa kali dan sepatutnya akan tamat pada 30 April ini.

“Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat, memandangkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini masih belum stabil.

“Lebih-lebih lagi untuk membantu pelajar-pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

“Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, data itu tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.

Antara syarikat terlibat adalah Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM).

Dalam pada itu, YTL Communications Sdn Bhd (YTL) juga terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 September 2021 dan turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.

“Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

“MCMC berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian hingga 31 Julai 2021 dan sokongan lain yang disediakan akan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.

“Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan yang berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir,” ujarnya. – MalaysiaGazette