Tangkap tayar menunjukkan penerokaan tanah bukit berhampiran Persiaran Sungai Emas 3 di Batu Ferringhi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan menyiasat penerokaan tanah bukit berhampiran Persiaran Sungai Emas 3 di Batu Ferringhi.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kawasan lereng bukit tersebut dipotong untuk dijadikan teres bagi tujuan pertanian.

Jelas beliau, sebagai bukti pengadu turut menghantar tangkap layar daripada aplikasi Google Earth yang jelas memaparkan sebidang tanah sedang dibersihkan di bukit terbabit.

“Ketika melakukan tinjauan di lokasi, pihak kami menemui jalan masuk menuju ke tanah yang dibersihkan tetapi perjalanan dihentikan kerana elak didakwa penceroboh susulan tidak pasti status tanah itu.

“Kita bimbang penerokaan tanah bukit terbabit mengundang bencana seperti hakisan tanah serta tanah runtuh sekiranya hujan lebat berterusan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Meenakshi berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu turun ke lokasi untuk melakukan siasatan berhubung penerokaan itu agar ia bukan didalangi peneroka haram.

“SAM berharap kerajaan negeri turut mengambil tindakan segera terhadap penerokaan tanah bukit ini dan di kawasan lain kerana semakan di Google Earth menunjukkan terdapat banyak lereng bukit dibersihkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette